Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Hasrat komando tidak kesampaian

Hasrat komando tidak kesampaian

by Jeremy Lanson dan Yusop Teppo di Sandakan. Posted on April 5, 2011, Tuesday

http://www.theborneopost.com/newsimages/T04663.jpg

PILU: Florine (kiri) bersama anaknya Gabriel (dua kiri) dan Allena semasa upacara sembahyang sebaik sahaja jenazah mendiang Limit sampai di rumah keluarganya di Kampung Merdang Lumut di Samarahan, semalam.

Sarjan Limit Amis terbunuh selepas payung terjunnya gagal berfungsi pada ketinggian 8,000 kaki

KUCHING: Hasrat bagi seorang ayah untuk mengadakan majlis ulang tahun serentak dengan anaknya tidak kesampaian apabila menemui ajal lebih awal daripada tarikh majlis tersebut dirancang.

Demikian situasi yang terpaksa ditempuhi oleh keluarga mendiang Sarjan Limit Amis daripada Rejimen Gerak Khas (Komando) di Mersing, Johor yang terbunuh ketika menjalani latihan payung terjun di San-dakan, Sabah, pagi Ahad lepas.

Isteri mendiang Florine Jais, 29, memberitahu, sebelum menjalani latihannya di Sandakan, mendiang sempat menyatakan hasratnya untuk meraikan hari jadinya yang ke-39 pada 14 April ini serentak dengan anaknya lelakinya yang menyambut hari jadinya yang kedua pada 17 April ini.

“Malam sebelum kejadian, dia (mendiang) ada menelefon saya dan dia ada memberitahu yang dia akan pulang pada 14 April ini kerana ingin menyambut hari jadinya pada hari itu serentak dengan anak lelaki kami yang kebetulan juga dilahirkan pada bulan yang sama iaitu 17 April.

“Tetapi hasratnya tidak kesampaian,” kata Florine dengan nada yang amat sedih ketika ditemui di kediamannya di Samarahan, semalam.

Mendiang yang berasal dari Kampung Merdang Lumut, Samarahan meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak iaitu Allena Nia, 6 tahun dan Gabriel Hendry, 2 tahun (yang sepatutnya meraikan hari jadi bersama ayahnya).

Jenazah mendiang telah selamat sampai tengah hari semalam di kediamannya di Kampung Merdang Lumut dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Katolik, Sungai Tapang, pagi esok (6 April).

Sementara itu menurut Pegawai Memerintah Rejimen Gerak Khas (Komando), Leftenan Kolonel Adi Ridzuan Abdullah berkata mendiang semasa kejadian sedang menjalani latihan rutin mereka di Sandakan.

“Mendiang sebelum ini ada mengikuti latihan di Melaka iaitu pada isnin lepas (28 Mac),dan pada hari Selasa (29 Mac), mereka telah berangkat ke Sandakan, Sabah untuk latihan payung terjun,” katanya.

Menurut Adi, mendiang sudah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 18 tahun sejak 1993.

Mengulas mengenai punca insiden tersebut, Adi memberitahu siasatan berhubung kejadian itu kini sedang dijalankan oleh lembaga siasatan.

“Puncanya ada dua kemungkinan iaitu faktor manusia dan satu lagi adalah faktor teknikal.

“Mendiang seorang yang berpengalaman kerana dia kerap terjun cuma sekarang ini kita masih belum mengetahui punca kejadian dan kita serahkan kes ini kepada lembaga siasatan,” katanya yang ditemui di rumah keluarga mendiang di sini semalam.

Sementara itu di SANDAKAN, jurucakap tentera memberitahu Utusan Borneo, Limit menemui maut selepas payung terjunnya tidak terbuka semasa melakukan latihan terjun di sini pada Ahad.

Mayat mangsa ditemui di kawasan muara sungai Batu 7, lebih kurang jam 11.30 pagi Ahad.

Mangsa antara yang menyertai latihan payung terjun siri satu dan dua yang membabitkan 104 orang pegawai dan anggota tentera di seluruh negara.

Latihan payung terjun hari pertama itu bermula jam 9 pagi yang membabitkan 80 anggota tentera dan mangsa adakan kumpulan keenam melakukan terjunan pada latihan itu.

Semasa latihan itu dijalankan pada paras 8,000 kaki, mangsa dikatakan telah menghadapi masalah untuk membuka payung terjunnya sebelum mayatnya di temui oleh anggota bertugas di kawasan muara sungai berkenaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk di bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Rowell Marung mengesahkan di mana pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan masih lagi dijalankan.

Share|

<< Previous Entry - Next Entry >>

http://www.theborneopost.com/?p=114561