3 Januari 2010
Setahun telah berlalu dengan menyimpan pelbagai kenangan manis dan pahit dilalui sepanjang bertugas di akhbar ini. Banyak kenangan pahit dari manis yang terukir sepanjang menempuh 2009 dalam dunia kewartawanan.
Sejak bertugas di akhbar Utusan Borneo pada tahun 1996, tahun 2009 lah yang merupakan tahun yang banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui. Tidak semua cerita yang dilalui dapat saya kongsikan kepada pembaca, biarlah ia menjadi pengajaran warna-warni kehidupan saya dalam menjalankan tugas sebagai seorang penulis kecil yang masih merangka dalam dunia kewartawanan.
Ini adalah kali dua saya diberi penghormatan membuat nota seorang wartawan di akhbar ini bagi pembukaan lembaran pertama untuk tahun 2010 dan sebelum ini juga tahun 2009. Rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada semua rakan-rakan di Utusan Borneo terutamanya di bahagian editorial yang memberi peluang dan banyak membantu kepada saya dalam menjalankan tugas.
Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan kepada semua rakan-rakan wartawan di seluruh Sabah terutamanya rakan-rakan karip di Sandakan yang begitu banyak memberi kerjasama dan membantu dalam merempuhi suka duka bertugas sepanjang tahun 2009.
Sebelum saya berkongsi pengalaman dengan para pembaca, saya juga menada tangan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT dimana keluarga saya amat memahami kerjaya dan bidang tugas yang saya jalankan.
Apabila merenung sepanjang 2009, cerita yang saya kongsikan ialah kehilangan misteri seorang bekas ahli peniagaan di dalam Hutan Simpan Leila Bukit Trig Hill yang telah dilaporkan hilang selama 17 hari sebelum satu mayat ditemui dalam hutan berkenaan.
Tiga hari kehilangan lelaki warga emas sebelum ia menyambut ulang tahun ke 73 telah menjadi tanda tanya kepada anggota penyelamat dimana lelaki ini merupakan seorang ahli sukan lasak yang telah biasa melalui atau meredah hutan berkenaan bersama rakan-rakannya setiap minggu.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh anggota mencari dan penyelamat yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rosli Mohd Isa. Rakan-rakan serta keluarga lelaki warga emas ini turut menggunakan bomoh bagi menjejaknya tetapi tidak berhasil.
Sewaktu saya bersama seorang rakan, Suparmin Simadi (Bernama) menyertai pasukan ACP Rosli Mohd Isa melakukan pencarian di dalam hutan berkenaan telah diberi arahan bagi melaungkan azan dalam empat penjuru bersama ACP Rosli sendiri, Sarjan Sulaiman dan Suparmin di lokasi lelaki berkenaan dilaporkan hilang.
Rasa seram dan bulu tengkok juga agak naik apabila melihat lokasi hutan berkenaan yang agak aneh dan boleh dikatakan tempat berkenaan agak keras. Memasuki hutan hutan berkenaan pada sebelah tengahari dan kami keluar lebih kurang jam 5 petang. Saya merasakan ini adalah satu perjalanan pencarian yang agak jauh saya lalui dimana melebihi 10 kilometer.
Sebelum keluar dari hutan berkenaan, rakan-rakan lelaki warga emas ini yang menunjukkan lokasi kehilangan lelaki itu telah menyanyikan lagu menyambut ulangtahun kerana pada hari itu ialah sambutan ulangtahun lelaki yang hilang berkenaan. Sedih juga apabila difikirkan.
Walaupun waktu kehilangan lelaki ini, saya sedang bercuti tahunan tetapi demi tugas dan minat saya dalam dunia kewartawanan saya tetap turun bagi mendapatkan maklumat sekaligus menghantar, laporan berita tentang kehilangan lelaki berkenaan.
Hari keempat kali sekali lagi menyertai ACP Rosli memasuki hutan simpan berkenaan bersama bersama beberapa rakan media lain iaitu Suparmin (Bernama), James Leong (Sabah Times) dan Sajiri Ibin (RTM). Manakala rakan-rakan media lain, (Haslin, Poliana, Ken, Saimon, Nizam dan Halim) berada di pusat operasi.
Kali ini, seorang rakan media yang mengambil gambar seekor kambing yang diletakkan dihutan berkenaan bagi memulihkan semangat hutan terdapat pada gambar itu cebisan kain putih yang berbentuk nombor satu. Seorang lagi anggota polis yang cuba merakamkan gambar kambing berkenaan menggunakan telefon bimbitnya juga turut terdapat benda ganjil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Walaupun pelbagai kejadian aneh berlaku, usaha mencari lelaki ini tetap diteruskan dengan pelbagai kaedah walaupun terpaksa menggunakan khidmat bomoh. Pencarian hari kesembilan juga terdapat perkara ganjil dimana sebatang pokok yang ditemui oleh pasukan mencari terdapat ukiran tiga muka orang yang turut dirakamkan menggunakan telefon bimbit.
Operasi mencari dan menyelamat ini telah diteruskan sehinggalah empat ahli sukan lasak menemui satu mayat lelaki yang telah reput ditepi sungai dalam hutan yang sama bersebelahan bandar Indah Jaya Batu 4 pada hari ke 17 kehilangan lelaki berkenaan.
Pihak polis dengan bantuan Jabatan Bomba Dan Penyelamat masih tidak dapat mempastikan sama ada mayat yang ditemui itu adalah lelaki yang telah dilaporkan hilang berdasarkan mayat berkenaan telah reput. Pihak media juga telah turut sama meredah hutan berkenaan bagi membuat liputan media berhubung penemuan mayat itu.
Apabila difikir semula mengenai kejadian pelik ini, besar kemungkinan ia adalah satu kebetulan atau sebaliknya. Saya tertanya-tanya juga pada diri sendiri mungkin ada kebenaran kejadian aneh yang kami lalui ini. Saya endah pastilah...... kalau terlalu difikir buat seram pula....
Bagi saya, ini adalah pengalaman yang banyak memberi pengajaran dan pengalaman yang berguna kepada saya bagi menempuhi tugas-tugas pada masa akan datang. Sudah menjadi asam garam petugas media bagi mendapatkan maklumat atau gambar yang terbaik sehingga sanggup menempuhi pelbagai cabaran.
Sebelum saya menutup coretan nota ini, saya ingin berpesan kepada semua supaya lebih berhati-hati apabila melakukan sesuatu. Fikir baik-baik kerana sekiranya berlaku sesuatu sudah tentu ia akan menyusahkan keluarga sendiri... ...fikir-fikirkan..... Apa-apa pun, tekadkan diri dan kuatkan semangat agar apa yang kita inginkan dan azamkanpada tahun ini tercapai..... selamat maju jaya...bye3....